AMALAN 5S

Gantt Chart Perlu Diperkemas


Lawatan En Hisyam pada Khamis 10 Oktober 2011 baru-baru ini lebih menjurus kepada pemeriksaan dokumen dan fail-fail amalan 5S di semua zon yang terlibat.  

Hampir kesemua fail zon yang diperiksa mempunyai kelemahan yang perlu diperbaiki iaitu Gantt Chart di mana ianya perlu dimasukkan dan diisi tahap kemajuan yang sedang dan telah berlaku.  

Gantt Chart menceritakan tentang kemajuan sesuatu tahap amalan 5S yang melibatkan peracangan dan perlaksanaan di mana kemajuan sesuatu tugasan dapat dimaklumkan dan dipantau melalui maklumat yang tertera di dalam carta tersebut.  

Dalam perkembangan berkaitan, En Hisyam juga memaklumkan bahawa pre audit akan dilakukan sekitar 23 Disember 2011 iaitu seminggu sebelum audit pensijilan sebenar dilakukan.  

Lawatan kali ini menyaksikan Perpustakaan memperolehi markah tertinggi iaitu 4.7 kerana mempunyai fail amalan 5S yang begitu lengkap dan boleh dijadikan panduan kepada zon-zon lain. 



Ruang Kritikal Perlu Ditangani Segera


Hasil lawatan En Hisyam yang dilakukan pada Khamis, 6 Oktober 2011 telah merumuskan bahawa terdapat ruang-ruang yang disifatkan 'kritikal' semasa melakukan tinjauan di sekitar zon-zon di KPTM Alor Setar. 

Stor 'Marketing' yang berada di bawah kawalan Pentadbiran merupakan ruang yang perlu ditangani segera kerana ia didapati tidak menepati standard minima amalan 5S.  Sementara itu pula, kabel-kabel komputer yang tidak diikat dengan kemas juga merupakan kelemahan ketara hampir di semua zon terutamanya Bahagian Akademik dan zon-zon lain secara umumnya. 

Zon BETA memperolehi mata yang tertinggi hasil tinjauan En Hisyam di mana 4 telah diberikan kepada zon itu dari 5 mata keseluruhannya sementara zon Alpha memperolehi 3.3, Pentadbiran 2.5, Tetra 3, Gamma 2.8 dan zon-zon di bangunan Suka Menanti juga memperolehi mata yang agak baik.  

Namun begitu, Pengarah KPTM Alor Setar, En Ramli Mohd Jawi masih melihat pencapaian ini sebagai suatu usaha yang perlu ditingkatkan di mana beliau telah menetapkan sasaran ke semua zon memperolehi sekurang-kurangnya 3.5 bagi lawatan MPC akan datang yang akan dilakukan pada 20 Oktober 2011, dua minggu dari sekarang.   



Kursus Latihan Audit 5S


Hampir kesemua auditor dalaman yang dilantik untuk mengaudit amalan 5S telah menghadiri kursus latihan audit selama 2 hari bermula 23 hingga 24 September 2011 bertempat di Bangunan Suka Menanti.  

peserta tekun mendengar taklimat En Hisyam
Kursus itu dikendalikan oleh En Hisyam Hatimtai, seorang pegawai dari Malaysia Productivity Corporation (NPC) yang telah dilantik sebagai 'konsultan' bagi KPTM Alor Setar di dalam usaha untuk mencapai pensijilan yang disasarkan pada penghujung 2011.

Turut serta di dalam kursus ini adalah TPA, Akauntan dan Ketua-Ketua Bahagian yang berpeluang berkongsi maklumat tentang tatacara pengauditan yang akan dilakukan. 

Para auditor didedahkan dengan skop pengauditan yang merangkumi sebahagian besar bahagian di dalam urusan KPTM Alor Setar termasuklah ruang pejabat, kelas, surau, bilik fail, bilik air, ruang persekitaran luaran, perpustakaan, makmal dan sebagainya lagi.  



Pelancaran Amalan 5S


Majlis Pelancaran 5S telah disempurnakan oleh Encik Saifulkahar Shariff, Pengurus Bahagian Jaminan Kualiti yang mewakili En Mohd Rusli Abd Wahab, Pengurus Kanan Perancangan Korporat pada Isnin 22 Ogos 2011 bertempat di Bilik Kuliah 101, Kampus Suka Menanti.

Di majlis yang sama juga, semua warga kerja KPTM Alor Setar telah menurunkan tandatangan sebagai simbolik pernyataan komitment mereka terhadap perlaksanaan amalan 5S di KPTM Alor Setar yang juga kolej terawal beriltizam mendapatkan pensijilan 5S selewat-lewatnya hujung tahun ini.  

5S merupakan satu amalan pengurusan persekitaran kerja yang berkualiti di mana ianya berfungsi di dalam memastikan ruang kerja sesebuah organisasi diuruskan dengan cekap dan mengikuti prinsip-prinsip kualiti yang utama iaitu SISH, SAPU, SUSUN, SERAGAM dan SENTIASA AMAL.